Kalian mungkin pernah terasa peritnya apabila rakan karib sendiri menikam kita dari belakang. Menipu, mempermainkan, memburuk-burukkan, atau mengaibkan kita sesedapnya. Sakit yang dirasa pastinya tak terkata. Orang sebegini memang hanya layak digelar rakan atau kawan dan bukan sahabat. Ini kerana nilai sahabat jauh lebih tinggi. Sahabat tidak akan melukakan hati sahabatnya. Seorang sahabat akan menjaga aib sahabatnya kerana dia sedar, jika bertindak demikian hijab aibnya akan dibuka Tuhan di hari pembalasan. Lebih penting, seorang sahabat tidak akan mengaibkan sahabatnya dengan fitnah yang tidak pernah sahabatnya lakukan. Bukan senang menjadi seorang sahabat. Jadi rakan atau kawan, mudah dan tidaklah susah.
Sesudah disakiti, bagaimana tindakan seterusnya. Memaafkan? Oh, harganya adalah sebuah pengorbanan dengan merobohkan tembok keegoan. Mahal. Ya, terlalu mahal harganya. Lebih mahal daripada jam tangan Tag Heuer, tas tangan Prada atau kasut tumit tinggi Jimmy Choo. Kereta Ferraripun terlalu murah kalau dibandingkan dengan harga sebuah kemaafan. Nilai kemaafan adalah infiniti. Tetapi, kalaupun kalian pernah disakiti, maafkanlah rakan atau kawan itu. Sebelum dan selepas kewafatan Muhammad S.A.W, tiada lagi manusia sempurna. Tiada lagi manusia kamil. Maka secara mudahnya, rakan-rakan kita adalah manusia biasa, yang tak lepas dari dosa. Kurniakan kemaafan dengan percuma dan jangan pernah menuntut sebarang harga.
Hidup lebih senang dan tenang kalau kita memaafkan sesama insan. Dr. Haji Mohd Fadzillah Kamsah pernah mengingatkan, setiap kali sebelum tidur, maafkanlah semua orang yang melakukan kesilapan kepada kita pada hari itu atau hari-hari sebelumnya. Kita akan memulakan hari esok tanpa musuh di jiwa. Hari kita akan lebih bahagia, ceria dan insyaAllah gembira. Akupun cuba mengamalkannya. Tetapi benarlah, mungkin senang seorang lelaki untuk memaafkan tetapi tidak mudah untuk dia melupakan kesilapan insan. Apatah lagi kalau kesilapan yang dilakukan terhadap lelaki itu hadir dari makhluk Tuhan yang bernama perempuan. Asalnya dari rusuk kiri sang lelaki yang pernah, masih dan akan terus menghormati. Biarpun hatinya disakiti..
No comments:
Post a Comment