Followers

Tuesday, October 19, 2010

harGa sebuah kemaaFan....

Kalian mungkin pernah terasa peritnya apabila rakan karib sendiri menikam kita dari belakang. Menipu, mempermainkan, memburuk-burukkan, atau mengaibkan kita sesedapnya. Sakit yang dirasa pastinya tak terkata. Orang sebegini memang hanya layak digelar rakan atau kawan dan bukan sahabat. Ini kerana nilai sahabat jauh lebih tinggi. Sahabat tidak akan melukakan hati sahabatnya.  Seorang sahabat akan menjaga aib sahabatnya kerana dia sedar, jika bertindak demikian hijab aibnya akan dibuka Tuhan di hari pembalasan. Lebih penting, seorang sahabat tidak akan mengaibkan sahabatnya dengan fitnah yang tidak pernah  sahabatnya lakukan. Bukan senang menjadi seorang sahabat. Jadi rakan atau kawan, mudah dan tidaklah susah.

Sesudah disakiti, bagaimana tindakan seterusnya. Memaafkan? Oh, harganya adalah sebuah pengorbanan dengan merobohkan tembok keegoan. Mahal. Ya, terlalu mahal harganya. Lebih mahal daripada jam tangan Tag Heuer, tas tangan Prada atau kasut tumit tinggi Jimmy Choo.  Kereta Ferraripun terlalu murah kalau dibandingkan dengan harga sebuah kemaafan. Nilai kemaafan adalah infiniti. Tetapi, kalaupun kalian pernah disakiti, maafkanlah rakan atau kawan itu. Sebelum dan selepas kewafatan Muhammad S.A.W, tiada lagi manusia sempurna. Tiada lagi manusia kamil. Maka secara mudahnya, rakan-rakan kita adalah manusia biasa, yang tak lepas dari dosa. Kurniakan kemaafan dengan percuma dan jangan pernah menuntut sebarang harga.

Hidup lebih senang dan tenang kalau kita memaafkan sesama insan. Dr. Haji Mohd Fadzillah Kamsah pernah mengingatkan, setiap kali sebelum tidur, maafkanlah semua orang yang melakukan kesilapan kepada kita pada hari itu atau hari-hari sebelumnya. Kita akan memulakan hari esok tanpa musuh di jiwa. Hari kita akan lebih bahagia, ceria dan insyaAllah gembira. Akupun cuba mengamalkannya. Tetapi benarlah, mungkin senang seorang lelaki untuk memaafkan tetapi tidak mudah untuk dia melupakan kesilapan insan. Apatah lagi kalau kesilapan yang dilakukan terhadap lelaki itu hadir dari makhluk Tuhan yang bernama perempuan. Asalnya dari rusuk kiri sang lelaki yang pernah, masih dan akan terus menghormati. Biarpun hatinya disakiti..






CabaraN pemikiraN modenisasi....

       Hendaklah kita sentiasa sedar bahawa jalan hidup kita ialah Islam, dan pegangan serta perlembagaan hidup kita ialah ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah  s.a.w. Fahaman Islam yang kita bawa dalam hidup kita adalah berdasarkan fahaman Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan telahpun diikuti oleh para sahabat ridhuanullah ‘alaihim. Bukan fahaman-fahaman  lain yang disogokkan oleh musuh-musuh Islam ke dalam masyarakat Islam. Sebagai orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan kepada semua prinsip-prinsip (rukun) keimanan, kita mestilah peka dan awas agar kita tidak terjebak ke dalam aliran-aliran faham yang berlawanan /bercanggah dengan Islam. Satu daripadanya ialah :  Aliran Modenisasi .  Iaitu satu pandangan hidup keduniaan yang mempertuhankan kemodenan (modernity).

Modenisasi sebenarnya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang tersendiri.  Antara sifat-sifat utamanya adalah seperti berikut:

Pertama :  Modenisasi bersifat anti-agama, dan dari segi fikrah Islam, modenisasi menentang Deen, menentang syariat dan menentang sunnah Rasulullah s.a.w.  Bagi seorang modenis, agama dianggap sebagai lambang kekolotan, kemunduran, kebekuan (jumud) dan dianggap mengongkong, membelenggu dan membantutkan perkembangan manusia.

Kedua : Modenisasi juga bersifat ‘sekular’.  Menyingkirkan agama daripada kehidupan manusia atau daripada sebahagiannya.  Agama dijadikan perkara (urusan) individu sahaja dan bukan untuk kehidupan umat dan Negara.  Pemisahan itu telah melahirkan manusia yang melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan (perbuatan) bukan lagi kerana Allah , bukan lagi sebagai ibadah kepada Allah, tetapi semata-mata kerana kerja itu sendiri atau kerana tujuan-tujuan yang lain yang bersifat keduniaan.

Ketiga:  Modenisasi juga bersifat ‘humanis’.  Yakni manusia memilik,merancang, melaksanakan sesuatu dan manusialah yang menerima faedah daripada kegiatan hidup  manusia itu sendiri.  Fokus (tumpuan) utama kepada kegiatan hidup manusia di dunia ini sahaja.  Akibatnya manusia tidak lagi memperhambakan diri kepada Allah s.w.t, Pencipta alam ini, tetapi manusia memperhambakan diri  kepada sesama manusia atau sesama makhluk.  Akibatnya lagi manusia menafikan adanya alam ghaib dan perkara ghaib kerana semuanya itu tidak dapat  dikesan / dicapai oleh pancaindera dan rasional manusia (‘aqal dan logik ‘aqal manusia).

Keempat :  Modenisasi juga bersifat kebendaan (materialisma).  Ini merupakan suatu konsep yang menyifatkan bahawa perkara yang wujud ialah benda, tiada yang maujud melainkan benda.  Pandangan hidup seorang ‘materialis’ (orang yang berfaham kebendaan) itu hanya memberi keutamaan kepada kelazatan yang boleh dirasai dan dikecapi melalui pancaindera dan mental atau minda manusia sahaja.  Akibatnya seorang materialis sentiasa menolak perkara-perkara rohaniah dan nilai-nilai rohani atau sekurang-kurangnya mengabaikan perkara-perkara  rohaniah dan nilai-nilai rohani. Kejayaan dalam bidang sains diagung-agungkan.  Kuasa kehendak dan pentadbiran manusia dianggap sebagai kuasa yang dapat menakluki alam (dunia ) ini.

Kelima :  Modenisasi juga bersifat ‘free thinking’ yakni berfikiran bebas dan tidak mahu terikat kepada ‘authority’ atau kewibawaan seseorang yang disebut ‘free thinker’ itu tidak semestinya dia menafikan wujudnya Allah s.w.t tetapi dia tidak mahu terikat kepada penafsiran orang-orang yang ada ‘authority’ (wibawa).  Dalam Islam disebut tafsiran ulama’ muktabar. Bahkan mereka  berfikir sendiri dan membuat tafsiran sendiri mengikut kehendak hawa nafsu sendiri.   Akibatnya, tafsiran dan fatwa ulama’-ulama’ muktabar akan ditolak dan diperkecil-kecilkan atau tidak dihargai.

Di dalam sejarah, telah terbukti bahawa proses modenisasi di negeri-negeri / negara-negara Islam telah bermula apabila jatuhnya pemerintahan Khilafah Uthmaniah di Turki pada tahun 1923 M.  Sejak itu proses modenisasi  menular dan merebak dimulai dengan pembaharuan dan permodenan  yang dilakukan oleh pemerintah pertama bagi Turki moden iaitu Mustafa Kamal Attartuk dan beliau dianggap sebagai reformis modenis yang  telah ternyata  hasil usahanya bukan sahaja  memisahkan agama daripada negara, bahkan lebih jauh daripada itu.  Apa yang dilakukan merupakan proses penghapusan Islam seluruhnya sebagai ‘aqidah dan syariat atau disebut juga sebagai proses ‘De Islamisasi’.
Di dalam Islam ada konsep ‘Islah’ ( اصلاح ) tetapi bukan pembaharuan modenisasi ini.  Konsep Islah bererti berusaha memperbaiki keadaan umat Islam yang telah rosak dan menyeleweng (menyimpang) daripada ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.  Menyimpang daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu dengan cara mengajak umat Islam itu kembali kepada  tahap umat Islam dalam generasi awal Islam dahulu, dibawah pimpinan  dan bimbingan  Rasulullah s.a.w.  Atau sekurang-kurangnya  menghampiri tahap dan keadaan generasi tersebut.  BUKAN mengubah ajaran agama atau Deen Islam itu untuk disesuaikan dengan zaman, tetapi manusialah dan umat ini mestilah mengikhlaskan diri mengubah diri untuk disesuaikan diri mereka dengan ajaran Islam yang  bersumberkan daripada al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Menurut kacamata syara’, perubahan diri seseorang bermula dari dalam jiwa  barulah akan berlaku perubahan dan pengislahan  dalam kehidupan.  Ini bertepatan dengan Firman Allah s.w.t :
Bermaksud: “ Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.
(Surah ar Rad : 11)

Kita dituntut untuk menjadi Musleh ( مصلح )  atau reviver yang berusaha sedaya yang termampu untuk menghidupkan kembali  Ruh dan Deen Islam dikalangan umat ini dalam bentuk yang suci bersih daripada bid’ah ( بدعة ), khurafat ( خرافات ) dan sebarang bentuk penyelewengan.  Kita hanya dituntut berusaha  seupaya  mungkin menakala kejayaan dan hasilnya dipulangkan kepada Allah s.w.t.  Allah s.w.t  sahaja yang menentukan natijahnya.
Firman Allah s.w.t :
Bermaksud: “  Syu`aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana pikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.
(Surah Hud : 88)

Bermaksud:  “  dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.“
(Surah al An’am : 153)

Berdasarkan kepada ayat tersebut jelaslah bahawa jalan yang benar dan lurus itu hanya satu sahaja iaitu jalan Allah,  manakala jalan-jalan  yang sesat, menyeleweng dan bathil  itu banyak dan bersimpang siur serta bengkang bengkok.  Seperti mana yang  telah diperjelaskan di dalam tafsir “  صفوة التفاسير   “ oleh As Syeikh Muhammad ‘Ali As Shabuni.
Musuh Islam kalangan Yahudi dan Nasrani( اليهود و النصارى ) sudah lama merancang dan berusaha untuk menarik keluar  dan  memutuskan hubungan orang Islam dengan ajaran-ajaran Islam dan sekaligus tunduk dan mengikut telunjuk mereka.  Hal ini telah lama diperingatkan oleh  Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim.
Bermaksud:  "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. "
(Surah al Baqarah : 120)

Maksudnya, apabila orang-orang Islam (orang-orang yang beriman) itu mengikut  telunjuk mereka, maka barulah mereka redha dan puashati.
Sayugia disedari bahawa  serangan musuh-musuh Islam  bukan sahaja serangan ganas melalui senjata moden seperti yang telah termaklum berlaku  pada masa ini di Iraq dan Palestin bahkan ada satu lagi serangan yang amat berat kesan dan risikonya iaitu serangan dalam bentuk fikiran atau yang disebut  الغزو الفكرى    (Serangan Pemikiran) yang boleh merosakkan aqidah dan ibadah serta pegangan dan nilai-nilai hidup umat Islam.
Oleh itu kita selaku orang Mukmin perlulah berhati-hati terhadap berbagai aliran pemikiran, samada yang  klasik ataupun yang moden agar kita tidak terjebak dan tidak terperangkap di dalam jaringan  aliran-aliran pemikiran yang menyesatkan dan merosakkan aqidah dan ibadah serta nilai hidup  hakiki umat Islam.   Kita mesti yakin bahawa Islam adalah Islam, Deen Allah s.w.t  tiada label Islam moden dan tiada label Islam kuno. Tiada Islam maju dan tiada Islam mundur.  Kerana Allah s.w.t telah menekankan dalam al Quran :
Bermaksud:  “   Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.  “
(Surah ali Imran : 19)

Islam itulah yang dibawa, disampaikan, didakwahkan, ditarbiyahkan (dididik) oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya.
Untuk selamat  di dunia dan di akhirat, maka kita tiada pilihan yang lain melainkan memilih Deen Islam dan kita perlu kembali kepada  Madrasah dan  didikan Rasulullah s.a.w.




innama a'malu bin niat..




Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.
Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.
Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.
Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).
Salah Faham
Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.
Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

Dr Yusuf al-Qaradawi pula menyebut:
Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).
Salah Niat
Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.
Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.

Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi s.a.w menyebut dalam hadis qudsi:
“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.
Jika ruh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.
Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.
Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan Sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat.
Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?